TUMPAS….Dua suspek berumur lingkungan 20 an dan 30 an ditangkap pihak polis.

KUCHING: Polis memberkas dua lelaki di sini semalam kerana memiliki peluru dan senjata berbahaya.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek yang berumur lingkungan 20 an dan 30 an itu ditahan anggota dari Balai Polis Sungai Maong bersama kereta pacuan empat roda yang dicuri di Jalan Stapok, MJC Batu Kawa.

REMUK.. kereta pacuan empat roda yang dicuri oleh suspek

Sebelum suspek berjaya ditahan katanya, berlaku kejar mengejar antara pihak polis dengan kedua-dua suspek di Jalan Tawi Sli.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menemui pelbagai jenis senjata berbahaya seperti pisau rambo, parang dan samurai.

“Turut ditemui satu tali pinggang mengandungi beberapa butir peluru hidup yang belum digunakan dan juga kelonsong peluru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Katanya, permohonan reman akan dibuat terhadap kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 38 dan 19 rekod jenayah lampau dengan pelbagai kesalahan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya negeri Sarawak untuk mendapatkan arahan bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya.

RAMPAS….Beberapa butir peluru, kelonsong peluru, senjata tajam ditemui di dalam kereta pacuan empat roda.

Suara Sarawak