KUCHING: Seorang lelaki berusia 52 tahun dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki empat gram ganja, dua tahun lalu.

Tertuduh Reduan Sahari yang berasal dari Kampung Tupong mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Zubaidah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan terlarang itu dalam sebuah rumah di Jalan Sultan Tengah, Bandar Baru Samariang, kira-kira jam 10.30 malam, 27 Jun 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret yang sama seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM2,500 kerana memiliki 1.41 gram Methamphetamine dan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Tertuduh Haswandy, 32, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta yang sama, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Bagi kesalahan itu, Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau lima bulan penjara.

Manakala, pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama, kerana memiliki 1.41 gram Methamphetamine.

Zubaidah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap tertuduh atas kesalahan terbabit.

Kedua-dua kesalahan terbabit dilakukannya di tepi jalan di bawah jambatan Tun Salahuddin, kira-kira jam 5.30 petang, 23 Januari 2021.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak