REMUK… kenderaan pacuan empat roda remuk di bahagian hadapan apabila terlibat dalam kemalangan di Jalan Sibu-Bintulu Kelawit berhampiran Tatau

BINTULU : Dua maut manakala seorang lagi cedera dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Sibu-Bintulu Kelawit berhampiran Tatau, petang tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Billy Andrew, 27, dari RPR Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong dan Henry Anak Jugah,49, beralamat di  Rumah Jugah, Sungai Anak, Selangau.

Sementara mangsa yang cedera pula dikenal pasti sebagai Cairil Anwar Hamzah,47, dari Kampung Seberang Kuala Tatau.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 2.25 petang.

“Setibanya pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Dua mangsa tersepit di tempat duduk hadapan telah dikeluarkan oleh pihak bomba dengan menggunakan peralatan khas “Rescue Tool”.

“Manakala, seorang lagi mangsa lelaki yang menaiki Toyota Hilux berwarna putih mengalami kecederan patah di bahagian paha,” katanya.

Mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa Hospital Bintulu untuk mendapat rawatan lanjut manakala dua mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau memaklumkan operasi tamat pada jam 3.02 petang.

 

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak