LYDIA AMAN

KUCHING: Padah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, dua pemuda masing-masing dijatuhi hukuman denda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Lek Che,35, dan Faizul, 26, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan penjara terhadap kedua-dua tertuduh sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Lek Che didakwa mengambil dadah terlarang jenis Amphetamine dan Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak, kira-kira jam 12.26 tengah hari, 3 Oktober 2018.

Manakala, Faizul didakwa mengambil dadah Amphetamine dan Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak, sekitar jam 4.15 petang, 18 April lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak