KUCHING: Jemaah Menteri membangkitkan dua perkara untuk diperincikan dan diperhalusi semula oleh Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan cadangan pindaan Perlembagaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan pindaan berkenaan telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri, semalam.

“Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun telah memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri berkaitan pindaaan ini dan Jemaah Menteri tiada bantahan terhadap draf yang dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Namun, Jemaah Menteri membangkitkan dua perkara agar diperincikan dan diperhalusi semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas menekankan, mengikut Peraturan 85 Peraturan Majlis Dewan Rakyat maklumat berhubung Jawatankuasa Pilihan Khas tidak boleh didedahkan kepada umum kerana masih dalam perbincangan diperingkat jawatankuasa.

“Secara keseluruhannya, Rang Undang-Undang (RUU) ini diambil maklum oleh kabinet.

“Sebarang persoalan yang dibangkitkan Jemaah Menteri akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 7 Jun depan untuk diteliti, seterusnya memuktamatkan RUU tersebut,” tambahnya.

Pada April lalu, pembentangan RUU Anti Lompat Parti itu ditangguhkan buat kali kedua. Ia sepatutnya dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April, namun tidak dapat diteruskan kerana Kabinet tidak bersetuju dan mahukan definisinya dilakukan kajian lanjut.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak