Dua rakan baik didenda kerana mencuri besi

KUCHING: Padah curi batang besi milik sebuah syarikat pembinaan hingga menyebabkan kerugian RM150, dua rakan baik masing-masing didenda RM5,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh  Saufik , 24, dan Ajis , 37, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencuri lapan batang besi milik sebuah syarikat pembinaan di Jalan Sungai Maong Baru, sekitar jam 3.05 pagi, 19 Jun lepas.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, pengadu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mendapati dua orang lelaki telah memecah masuk ke dalam kawasan pembinaan, kira-kira jam 3.05 pagi, 19 Jun lepas.

Pengadu melihat mereka mengambil besi dan berjaya menangkap salah seorang daripada mereka bersama-sama barang curi.

Barang-barang curi ialah sebatang besi galvanis berbentuk U dan tujuh batang besi cerucuk pelbagai saiz.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut dan menyerahkan tertuduh pertama (Mohammad Saufik) kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

Tertuduh kedua kemudian berjaya ditangkap oleh pihak polis di sebuah rumah di Kampung Sungai Maong pada 21 Jun lepas, sekitar jam 1.15 petang.

Hasil siasatan, kedua-dua tertuduh didapati telah mencuri besi milik syarikat pembinaan hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM150.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak