Abang Johari (dua kanan) bercakap sesuatu dengan Henry (tiga kanan), Sagah (tiga kiri), Miro (dua kiri) dan Simon (kiri) ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Bau 2022 di Dewan Suarah Bau di sini, hari ini.

BAU: Kerajaan Sarawak akan menubuhkan sebuah lagi agensi bagi menumpu dan menyelaraskan pembangunan dari kawasan Kuching sehingga ke Serian, yang akan turut memanfaatkan kesemua lapan konstituensi Bidayuh.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan agensi dikenali sebagai ‘Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA)’ itu adalah adalah bagi mengiktiraf sokongan masyarakat Bidayuh.

“Wakil anda (Bidayuh) telah membangkitkan perkara itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang meminta kaedah khas untuk membangunkan kawasan Bidayuh.

“Oleh itu, saya ingin mengumumkan bahawa kita akan menubuhkan GKCDA,” katanya ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Bau 2022 di Dewan Suarah Bau di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat yang juga Adun Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep, Adun Serembu Miro Simuh dan ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada.

Justeru, beliau berkata akan berbincang dengan pemimpin-pemimpin Bidayuh bagi menghasilkan rangka kerja serta cara agensi itu berfungsi.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata model GKCDA adalah serupa dengan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HAD) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) dan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA).

“Ia bukan badan berkanun formal, cuma agensi yang menyelaraskan semua projek pembangunan yang kita luluskan di kawasan ini.

“Apabila kita beri mereka geran pembangunan, mereka boleh menyelaraskan pelaksanaan projek itu dan jika timbul masalah, mereka boleh berbincang dan menyelesaikannya sesama sendiri,” katanya.

Sementara, Henry yang juga Adun Tasik Biru berkata menyambut baik pengumuman Abang Johari mengenai penubuhan GKCDA, yang akan memacu pembangunan di seluruh kawasan Bidayuh dari Lundi sehingga ke Serian.

“Tanpa agensi seperti ini, kita tidak akan mempunyai sebarang platform untuk memantau pelaksanaan projek.

“Dengan agensi ini, kita mempunyai platform yang akan memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar,” katanya.

Dalam persidangan DUN baru-baru ini, empat wakil rakyat Bidayuh terdiri daripada Miro, Simon, ADUN Bukit Semuja John Ilus dan ADUN Opar Billy Sujang menyeru agar kerajaan menubuhkan agensi bagi mempertingkatkan lagi pembangunan khususnya di kawasan Bidayuh.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak