Abang Johari memegang Buku Perlembagaan Persekutuan dalam ucapanya pada Perhimpunan Agung PBB ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini

KUCHING: Langkah Kerajaan Sarawak untuk terus menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tidak bermaksud kerajaan Sarawak tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan.

Demikian tegas Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyatakan bahawa ketetapan tersebut adalah berlandaskan kepada perkara yang digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, sesetengah pihak mendakwa bahawa kerajaan Sarawak tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan apabila Bahasa Inggeris dibenarkan dalam perkhidmatan awam Sarawak.

“Bukan saya tidak sealiran dengan dasar kebangsaan, tetapi kita harus praktikal dan mengakui kepentingan bahasa Inggeris lebih-lebih lagi Sarawak sedang melangkah ke arah dasar ekonomi digital dan ekonomi sekular.

“Dasar yang diperjuangkan kerajaan Sarawak ini mempunyai banyak istilah bahasa Inggeris yang tidak boleh ditukar atau sukar diterjemahkan ke bahasa kebangsaan,” katanya.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata demikian dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung PBB ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Sarawak masih menerima bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan dalam masa yang sama masih mengekalkan bahasa Inggeris sebagai satu lagi bahasa yang boleh digunakan untuk berkomunikasi.

Beliau berkata bahawa Sarawak mempunyai hak untuk menggunakan Bahasa Inggeris mengikut buku Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Perkara 161 (3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas ada menyebut bahawa penggunaan bahasa Inggeris dibolehkan bagi prosiding di dalam Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau bagi apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak