KUCHING: Guru pendidikan awal kanak-kanak khususnya warga pendidik SeDidik perlu komited terhadap perubahan arus dunia pendidikan yang kini bergerak dengan pantas.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, warga pendidik ini disarankan untuk tidak berada di takuk lama, sebaliknya perlu mengikut peredaran zaman bagi persediaan pelajar pada masa depan.

Katanya, dunia yang mula beralih ke arah digital kini menuntut warga pendidik untuk berubah sebagai persediaan dalam memastikan keberhasilan anak SeDidik sentiasa meningkat.

“Justeru, saya menyeru guru untuk memiliki ilmu, kemahiran tinggi dan dari segi pedagogi, guru ini perlu sentiasa relevan, berinovasi dan kreatif dalam mensejahterakan pelajar.

“Kriteria yang dimiliki oleh warga pendidik ini sekali gus dapat meningkatkan kualiti dan tahap profesionalisme pendidikan seiring dengan peredaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam SeDidik Sempena
Sambutan Hari Guru, Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Gawai Dayak, di sini, malam tadi.

Tambah Fatimah, guru SeDidik juga memainkan peranan yang amat signifikan dalam menyumbang kepada kesejahteraan anak-anak ekoran pendidikan, pembentukan watak dan sebagainya bermula di peringkat awal kanak-kanak.

“Ia bermula dari kita yang menyampaikan pengetahuan, merangsang kanak-kanak untuk mengembangkan keupayaan, kemahiran, sikap dan pengetahuan mereka, menerapkan nilai-nilai murni, menyediakan perlindungan dan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak.

“Justeru, saya tegaskan lagi bahawa pendidik perlu melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu dan pengetahuan yang bersesuaian terutamanya kemahiran ICT, melalui kursus-kursus untuk mendepani pelbagai cabaran dalam mendidik, membimbing dan mengasuh anak-anak,”ujarnya lagi.

Simbolik…Fatimah memotong kek pada majlis makan malam SeDidik Sempena Sambutan Hari Guru, Ramah Tamah Hari Raya dan Sambutan Hari Gawai Dayak 2022, di sini, malam tadi.

Suara Sarawak