BERCAKAP…Fadillah (tengah) bercakap selepas melakukan lawatan ke tapak jejambat Selangau

SELANGAU: Kenaikan harga kelapa sawit dalam industri perladangan menjadi salah satu punca kekurangan pekerja dalam sektor pembinaan, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, situasi tersebut menyebabkan sesetengah pekerja sektor pembinaan telah memilih untuk bekerja di sektor perladangan berikutan tawaran gaji lumayan yang ditetapkan oleh pengusaha perladangan berbanding tangga gaji sektor pembinaan yang bergantung kepada kadar kemahiran masing-masing.

“Apabila harga kelapa sawit begitu baik dan terdapat keperluan untuk memetik sawit ini, maka mereka (pengusaha kelapa sawit) sanggup membayar apa saja bayaran untuk mengambil pekerja.

“Oleh itu sektor pembinaan agak terjejas dari segi tenaga kerja ekoran penghijrahan sebahagian pekerja pembinaan ke sektor ladang dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Jejambat Selangau, di sini, hari ini.

Justeru beliau mencadangkan agar pihak industri pembinaan mampu memberikan tawaran kelebihan serta insentif kepada pekerja dalam mengatasi persaingan sumber tenaga pekerja.

“Ini merupakan sumber pemasaran, kadang-kadang kerajaan tidak boleh mengambil tindakan.

“Jadi pihak industri sendiri kena memikirkan bagaimana mereka boleh menjaga pekerja dengan memberi tawaran termasuk kelebihan dan inisiatif yang boleh dibekalkan kepada pekerja,” katanya lagi.

Suara Sarawak