Hari bekerja dikurangkan

PASTI ada dalam kalangan kita terfikir mengenai hari berkerja disingkatkan kepada empat hari dalam seminggu berbanding lima atau enam hari dalam seminggu.

Bagi sesetengah individu, beranggapan bahawa waktu bekerja selama lima atau enam hari amat meletihkan.

Masa kerja yang disingkatkan itu membantu mereka berehat, melegakan segala kekusutan yang dihadapi ketika berkerja dan memberi ruang untuk tubuh badan beristirahat, sekali gus baik untuk kesihatan mental pekerja.

Dalam masa yang sama, ada juga dalam kalangan individu terutamanya yang terbabit dalam pengurusan sumber manusia beranggapan ia akan menjejaskan produktiviti.

Di samping itu, majikan juga berfikir dua tiga kali dalam membayar gaji penuh walaupun waktu bekerja disingkatkan, apatah lagi membabitkan produktiviti dan output.

Sebelum melompat kepada konklusi berhubung pelaksanaan itu di negara ini, United Kingdom (UK) telah memulakan sistem berkerja tersebut sebagai percubaan.

UK pada awal bulan ini telah memulakan sistem bekerja empat hari seminggu dengan masih menerima gaji penuh sebulan.

Program percubaan itu membabitkan 3,000 pekerja dari 70 syarikat di negara itu — merupakan skim perintis terbesar di dunia.

Ia berlangsung selama enam bulan dan terbesar di dunia ketika negara bergelut dengan lebih banyak kekosongan pekerjaan berbanding jumlah pekerja sedia ada.

Memetik laporan antarabangsa, kempen cara bekerja baharu itu dikendalikan oleh 4 Day Week Global dengan kerjasama badan pemikir Autonomy, ahli akademik dari Universiti Oxford, Cambridge dan Kolej Boston di Amerika Syarikat (AS).

Pelbagai syarikat perniagaan dan badan amal mengambil bahagian dalam program percubaan ini.

Antaranya Royal Society of Biology, Pressure Drop Brewery London dan pembekal perkhidmatan telekomunikasi, Yo Telecom. Program percubaan itu akan menilai sama ada pekerja dari syarikat terlibat berupaya melaksanakan produktiviti 100 peratus.

“Pekerja akan dibayar gaji penuh untuk 80 peratus masa mereka.

Namun mereka membuat komitmen untuk menghasilkan 100 peratus produktiviti,” kata laporan itu.

Bagaimanapun, beberapa pengkritik menganggap konsep itu mustahil bagi beberapa jenis pekerjaan seperti perlu berdepan dengan pelanggan atau beroperasi 24 jam.

Bagaimana pula sekiranya program serupa dilaksanakan di Malaysia?

Pastinya ia mendapat pelbagai reaksi dan mencetus persoalan dalam kalangan masyarakat.

Mungkin ada yang beranggapan seandainya sistem bekerja berkenaan dilaksanakan, ia akan memberi istirahat yang cukup kepada mereka kerana hari cuti bekerja dipanjangkan.

Mungkin juga ada yang skeptikal mengenai sistem tersebut bahawa produktiviti akan menurun dan majikan terpaksa membayar gaji penuh kepada pekerja mereka.

Malah, sektor perkhidmatan sama ada awam mahupun swasta antara yang dipersoalkan kerana ia melibatkan urusan antara masyarakat.

Ini kerana ada kalanya masyarakat hendak menunaikan urusan mereka kadangkala berdepan dengan satu kaunter yang dibuka manakala selebihnya ditutup.

Selain beberapa sektor pekerjaan yang perlu berada di lapangan dilihat tidak bersesuaian untuk melaksanakan sistem pekerjaan tersebut.

Pun begitu, pastinya masyarakat mahu bekerja secara fleksibel seperti yang mereka lalui sepanjang dua tahun lalu.

Penggiliran bekerja dari rumah dan di pejabat dilihat dapat mengimbangi antara kehidupan dan pekerjaan.

Selain itu, diiringi dengan motivasi agar produktiviti dalam sesuatu organisasi terus meningkat.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak