Gambar hiasan

BARU-BARU ini masyarakat digemparkan dengan perbicaraan kes penderaan membabitkan seorang gadis kelainan upaya (OKU) dikenali sebagai Bella yang dipercayai didera oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun.

Mengapa kes ini menarik perhatian ramai?

Ia bermula selepas usahawan dan sukarelawan, Mona Din menularkan isu terbabit.

Beberapa foto dan video yang memaparkan keadaan fizikal Bella terluka dan keadaan itu juga tidak dapat disorok lagi daripada pengetahuan doktor dan sukarelawan Rumah Bonda.

Menariknya, kes gadis OKU ini juga telah mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang lebih dikenali sebagai TMJ dan isteri, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Sehingga kini, kes Bella masih lagi dalam perbicaraan.

Ini antara kes penderaan yang mendapat laporan meluas di negara kita selepas perbicaraannya bermula 30 Mac lalu.

Bagaimana pula dengan kes penderaan lain yang melibatkan kaum lelaki?

Ya, ini yang berlaku kepada seorang pelakon utama filem Pirates of the Caribbean, Johnny Depp.

Pelakon Hollywood itu rupa-rupanya telah didera oleh bekas isterinya, Amber Heard semasa mereka masih lagi suami isteri.

Semua kisah rumah tangga pasangan ini terbongkar kepada dunia semasa prosiding mahkamah selama enam minggu bermula 11 April hingga 2 Jun lalu.

Jika anda mengikuti perkembangan kes tersebut hingga keputusan diumumkan pada 2 Jun lalu, pasti tidak terlintas di fikiran bahawa suami juga boleh menjadi mangsa dera.

Kebiasaannya kita cuma dengar keganasan rumah tangga itu berlaku kepada kaum wanita.

Sebenarnya tidak kerana keganasan rumah tangga juga boleh berlaku kepada suami!

Secara ringkasnya, Johnny Depp telah memenangi RM66 juta dalam kes saman fitnah terhadap Amber Heard.

Semasa prosiding berlangsung, mereka masing-masing saling mengeluarkan kenyataan balas kepada satu sama lain.

Pelakon filem Aquaman itu turut mendakwa dirinya telah didera secara fizikal oleh bekas suaminya.

Johnny Depp bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan akhirnya, dia menang dalam kes saman berkenaan, sekali gus menunjukkan kepada seluruh dunia keadaan sebaliknya berlaku.

Kes keganasan rumah tangga melibatkan kaum lelaki memang asing jika dibandingkan dengan kes penderaan kanak-kanak mahupun isteri.

Kes penderaan yang mangsanya kanak-kanaknya dan isteri, hampir setiap bulan kita dengar berlaku di seluruh dunia bahkan di Malaysia.

Dalam kes-kes berkenaan, ada mangsa koma, cedera, mengalami kecacatan di tubuh badan, trauma emosi atau psikologi, bahkan ada mangsa meninggal dunia.

Persoalannya sekarang, mengapa kes penderaan ini sentiasa berlaku terutamanya dalam kalangan kanakkanak?

Adakah sistem perundangan negara kita ini tidak lagi ditakuti?

Contohnya di Selangor, kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di negeri itu ketika negara sedang berdepan wabak pandemik antara Mac 2020 sehingga Mac tahun lalu mencecah 1,910 kes.

Ini satu angka yang sangat tinggi.

Data daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mendedahkan kes penderaan fizikal paling tinggi iaitu 686 kes, diikuti seksual 606 kes, pengabaian 555 kes dan emosi 63 kes. Itu hanya kes yang dilaporkan di Selangor, kes di negeri-negeri lain pula bagaimana?

Menurut Prof Madya Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul, isu penderaan dan stres ada saling kaitan kerana ia menyumbang kepada tindakan penderaan.

Bagaimana?

Katanya, stres yang berlebihan dan berterusan membawa kepada ketegangan yang menyebabkan kemurungan.

Kemurungan kesan daripada stres pekerjaan dan peribadi seterusnya menyebabkan gangguan psikologi, fisiologi dan akhirnya mencetuskan tingkah laku di bawah sedar atau luar kawal.

Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia itu mendakwa di sinilah penderaan berlaku apabila individu sukar membuat pertimbangan yang baik dan buruk terhadap sesuatu tingkah lakunya.

Data daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga mengenal pasti punca penderaan yang berkaitan dengan ibu bapa atau penjaga yang mengalami stres di tempat kerja, masalah kewangan dan masalah rumah tangga. Ia menjadi antara sebab mereka melepaskan geram sehingga memukul dan mencederakan anak.

Ibu bapa gagal mengimbangi antara tuntutan anak dan diri mereka sendiri dengan stres di tempat kerja.

Ironinya mangsa dera itu pula boleh jadi si isteri atau si suami!

Maka, jika stres yang menjadi punca masalah, strategi mengurus stres yang berkesan perlu diberi penekanan dalam setiap tindakan.

Benarkah dengan mengurus stres dengan baik dapat mengelak kes penderaan berlaku?

Meskipun isu kes penderaan ini bukan perkara baharu dalam masyarakat, namun setiap kali sesuatu kes penderaan itu terbongkar, ia sangat menyayat hati kerana si mangsa adalah individu yang sangat kecil telah dizalimi oleh si pelaku daripada darah daging sendiri.

Oleh itu, masyarakat perlu mengambil peduli hal ehwal yang berlaku di sekeliling mereka bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini seperti dera.

Sikap ambil peduli itu tidak bermakna mahu menjaga tepi kain jiran, tetapi sebagai langkah pencegahan jika yang berlaku itu membabitkan penderaan sehingga maut.

Suara Sarawak