KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) akan menghantar seramai 40 orang pegawai kanannya untuk menyertai Persidangan Perhutanan Malaysia Ke-19 (19th MFC) yang dijadualkan berlangsung bermula 12 hingga 15 Jun ini di Kuantan, Pahang.

JHS menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, persidangan ini dianjurkan secara bergilir-gilir setiap tiga tahun sekali oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Katanya, JPSM akan mewakili Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah (JP Sabah) mewakili negeri Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak akan mewakili negeri Sarawak.

“Justeru, persidangan ini akan menjadi landasan terbaik kepada semua kakitangan dalam sektor perhutanan di negara ini berkongsi pengalaman dan hala tuju pengurusan dan penjagaan hutan mengikut perspektif masing-masing ” katanya.

Tambah kenyataan itu, delegasi Sarawak ke persidangan ini juga akan diketuai oleh Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad.

“Beliau dijadualkan akan membentangkan satu (1) Kertas Kerja Plenary, Pencapaian Resolusi MFC Ke-18, 6 Kertas Kerja Oral, 10 Poster serta lima (5) Kertas Makluman mengenai pencapaian Jabatan ini dalam pengurusan hutan sejak kali terakhir persidangan ini (MFC Ke-18) diadakan pada tahun 2018 di Kuching.

“Malah, ia akan dibahagikan kepada enam sub tema yang dirangkumkan dalam tema utamanya iaitu  ‘Adapting Forestry to New Reality’,” tambahnya.

Pada Majlis perasmian
persidangan itu 13 Jun nanti,  ia akan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Darul Makmur.

Turut diadakan, Post Tour Visit ke beberapa buah lokasi yang terpilih di sekitar negeri Pahang, pertandingan sukan dan pertandingan persembahan kebudayaan.

Delegasi Sarawak turut disertai oleh beberapa orang pegawai kanan daripada Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR), Perbadanan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Sarawak Timber Association (STA), Harwood Timber Sdn Bhd (HTSB), Sarawak Planted Forest (SPF) dan Perbadanan Hutan Sarawak (SFC).

Suara Sarawak