Abang Johari (tiga kanan) melihat peta bagi cadangan Pusat Kebudayaan Bidayuh di Bau ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Bau 2022 di Dewan Suarah Bau di sini, hari ini. Turut kelihatan Sim (dua kanan), Henry (tiga kiri), Sagah (dua kiri) dan Miro (kiri).

BAU: Jalan raya berkembar (dua lorong sehala) menghubungkan Pekan Bau akan dibina tidak lama lagi, dengan kos dianggarkan RM100 juta.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata telah meluluskan projek itu bagi meningkatkan lagi akses jalan raya di Bau.

“Jalan ini sama seperti Pan Borneo dan ia akan menghubungkan Bau dengan Lundu dan Sematan,” katanya ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Bau 2022 di Dewan Suarah Bau di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat yang juga Adun Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep, Adun Serembu Miro Simuh dan ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada.

Menurutnya, projek itu adalah sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), bagi mengubah dan meningkatkan taraf hidup masyarakat di segenap kawasan negeri ini.

Sementara mengulas lanjut mengenai projek itu, Henry yang juga Adun Tasik Biru berkata fasa pertama jalan sepanjang 5.1 kilometer itu dijangka ditender pada Ogos nanti, dengan pembinaan dari persimpangan Sibuluh, Bau ke Pekan Bau.

“Kita tidak mahu Bau terasing dan tertinggal, tetapi kita mahu Bau ditambah baik dari segi jaringan jalan raya yang menghubungkan dari Pan Borneo, Kuching dan Lundu.

“Itulah sebabnya kita perlukan jalan raya berkembar untuk menampung penambahan kenderaan dan pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemu-bual.

Manakala bagi fasa kedua projek berkenaan, Henry berkata ia akan dibina bagi menghubungkan Bau dan Batu Kitang.

Katanya projek itu dijangka memakan peruntukan yang lebih besar kerana jaraknya yang lebih jauh dan dilengkapi dengan infrastruktur yang lain.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak