KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan supaya tidak mempolitikkan isu bekalan minyak masak sawit susulan langkah kerajaan memansuhkan minyak masak sawit kemasan botol.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun subsidi bagi minyak masak botol dimansuhkan, subsidi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan.

Jelasnya, program subsidi minyak masak tulen untuk botol ini hanyalah sementara, ketika pelaksanaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu dan ia dilaksanakan sehingga kini.

“Langkah kerajaan menarik balik subsidi dalam botol berkenaan kerana mendapati ia tidak begitu membantu golongan memerlukan, selain penyalahgunaan pembelian oleh mereka yang tidak sepatutnya.

“Justeru saya merayu rakyat pengguna jangan terlalu mudah dikelirukan oleh mereka yang mempunyai agenda lain,” tegasnya ketika ditemui media selepas melawat kilang pembungkusan minyak masak di Jalan Penrissen di sini, hari ini.

Menjelas lanjut katanya, pemansuhan subsidi minyak masak sawit kemasan botol 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg yang diputuskan kerajaan dilihat sebagai langkah untuk memastikan lebih banyak bantuan secara terus dan bersasar dapat diberikan kepada golongan yang layak menerimanya.

“Kerajaan boleh memberikan bantuan yang lebih bersasar, bagaimanapun segala bentuk bantuan ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan,” ujarnya lagi.

Sementara itu katanya, KPDNHEP juga tidak akan teragak-agak untuk menarik balik mahupun membatalkan permit perniagaan jika peniaga terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan salah guna barang kawalan bersubsidi di negara ini.

“Bagi mereka yang didapati bersalah dan melakukan kes penyelewengan, termasuk minyak masak bersubsidi terlalu ketara, kita akan gantung permit atau lesen perniagaan mereka,” ujarnya.

Nanta (tiga kiri) melawat sebuah kilang pembungkusan minyak masak di Teguh Binaniaga Sdn Bhd, di Jalan Penrissen di sini

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak