Gambar hiasan

MUTAKHIR ini, media tempatan melaporkan mangsa penipuan pulang ke tanah air setelah terpikat dengan tawaran kerja di luar negara yang ternyata palsu.

Terdahulu, dua individu muda iaitu lelaki dan perempuan dari Sibu selamat mendarat di tanah air setelah menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja.

Kepulangan kedua-dua mangsa diurus oleh Adun Dudong yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing.

Menurut King Sing, kedua-dua mangsa terpikat bekerja di negara itu berikutan satu iklan pekerjaan di Facebook yang menawarkan gaji lumayan.

Pasport serta telefon bimbit kedua-dua mangsa dirampas sebaik tiba di Kemboja dan mereka dipaksa untuk mencari mangsa di media sosial untuk menipu wang mangsa lain.

Mangsa akan dihukum secara fizikal sekiranya tidak mencapai indeks prestasi utama yang ditetapkan.

Kejadian serupa juga berlaku membabitkan seorang pemuda dari Semenanjung Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan.

Dalam satu sidang media di Wisma MCA, mangsa dikenali sebagai Cheah, 19, terjerat dan diseludup ke Myanmar setelah terjumpa iklan jawatan kerja di Facebook sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke di Thailand.

Mangsa dibawa oleh sindiket ke sempadan Thailand-Myanmar iaitu Mae Sot dan menggunakan laluan haram sebelum meneruskan perjalan ke Myanmar.

Wang tebusan

Dia ditempatkan dalam satu bangunan empat tingkat di sebuah perkampungan kecil di Myawaddy dan terkejut melihat ratusan warga Malaysia yang lain yang turut dipaksa bekerja sebagai penipu.

Mangsa berjaya pulang ke tanah air selepas ahli keluarganya mengumpul dana sebagai wang tebusan sejumlah RM70,000 kepada sindiket.

Penipuan pekerjaan ini bukan sesuatu yang baharu dan perkara ini pernah berlaku kepada rakyat Malaysia beberapa tahun lalu.

Pun begitu, kejadian yang sama berlaku dan seolah-olah rakyat Malaysia seperti dijadikan sasaran untuk sindiket tersebut.

Kegiatan ini seharusnya menjadi kegusaran kepada negara apabila mangsa mendedahkan beratus-ratus rakyat Malaysia yang terperangkap di perkampungan kecil di Myawaddy, Myanmar.

Ia belum dikira rakyat Malaysia yang terperangkap di negara-negara lain yang menunggu masa untuk diselamatkan.

Penipuan pekerjaan ini juga menunjukkan sisi yang lain bahawa rakyat Malaysia mudah terpikat dengan tawaran kerja tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

Ia mungkin memberi indikasi bahawa pekerjaan di sini tidak mendatangkan pendapatan yang lumayan, justeru memilih untuk bekerja di luar negara yang ternyata hanya palsu.

Pihak berkuasa telah melakukan sehabis baik dalam hebahan kepada orang ramai berhubung bahayanya penipuan pekerjaan ini.

Ibu bapa dan ahli keluarga antara yang pertama dalam menasihati sebelum perkara yang lebih buruk berlaku.

Ingat dan pegang peribahasa ini, pelanduk mungkin melupakan jerat tetapi jerat tidak akan melupakan pelanduk.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak