ROYSTON VALENTINE

MUKAH: Sehingga kini sebanyak 20 lokasi projek Jalinan Digital Negara (Jendela) sedang dilaksanakan di kawasan Dun Tellian secara berperingkat-peringkat.

Adun Tellian Royston Valentine berkata, kawasan itu melibatkan hab pendidikan di Mukah iaitu di UiTM Cawangan Mukah, Kaul Beach Resort, Sungai Baoh Chelum, Sungai Baoh Burak, Nanga Baoh, Kampung Patok, Kampung Penat, Rumah Panjang Jenuang, Kampung Petanak Hulu dan Rumah Imbat.

Menurutnya, kawasan lain yang turut terlibat adalah Kampung Tellian Hulu, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ingkerbai, Rumah Tandang, Sungai Kemantan Baru Sebakong, Tanjong Pedada Sebakong, Rumah Layang, Rumah Mulong, SK Lubok Bemban, Sungai Sikup dan Rumah Matthew Nanga Sikat. Jelasnya, kesemua projek tersebut dijangka siap sepenuhnya sekitar September 2023.

“Projek ini sedang dilaksanakan ketika ini dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Projek Jendela ini merangkumi pemasangan menara telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan komunikasi.

“Melalui projek ini, lebih ramai penduduk bakal mendapat manfaat positif tambahan dengan ledakan teknologi kini.

“Ini kerana secara keseluruhannya talian komunikasi khasnya di kawasan Dun Tellian akan bertambah baik dan efektif pada 2023,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Dun Tellian baru-baru ini.

Jendela dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan dilancarkan pada Mac 2021.

Perdana menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Jendela bakal menjadi asas bagi liputan jalur lebar yang komprehensif, berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara ke arah teknologi 5G.

Ia melibatkan 128 projek teknologi komunikasi dan maklumat serta pendigitalan membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion dengan peruntukan 2021 sebanyak RM538.7 juta.

Jendela kini menjadi satu inisiatif untuk membawa Malaysia ke arah penyambungan digital yang lebih besar dengan meningkatkan kecekapan infrastruktur negara dan mengoptimumkan penggunaan spektrum.

Suara Sarawak