KUCHING: Pada 28 Mei lalu keputusan temu duga lantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gres DG41 secara kontrak (Cos) diumumkan dan lebih 2,000 calon dari seluruh Malaysia telah berjaya.

Namun, ramai anak Sarawak yang layak (bukan iktisas pendidikan) telah memohon, melepasi tapisan temu duga, tidak diterima kerana syarat telah bertukar pada saat akhir oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) tanpa pemberitahuan umum.

Daripada situasi itu, isu kekurangan guru mungkin dilihat tidak mampu ditangani sebaiknya dan, ia akan memberi kesan jangka panjang kepada institusi pendidikan negara.

Wartawan Suara Sarawak berkesempatan menghimpunkan ‘suara hati’ dan harapan beberapa anak Sarawak.

Nicholas Imba, 30, yang merupakan calon Guru Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan amat kecewa dengan keputusan tersebut.

“Ramai rakan guru mengeluh sekolah mereka kekurangan guru dan terpaksa mengajar dua hingga tiga subjek.

“Dengan pertambahan pelajar menjadikan kerja guru bertambah, disebabkan luahan daripada rakan-rakan guru ini, menyebabkan saya memohon jawatan Guru Cos ini,” ujarnya.

“Kekurangan guru adalah kritikal di Sarawak terutama kawasan pedalaman. Saya yang lahir di kawasan pedalaman (Kapit) sangat mengetahui apa yang harus dilakukan untuk menarik minat para pelajar.

Tegasnya lagi iklan turut menyatakan hanya calon tiada ikhtisas boleh memohon tetapi ada diselitkan graduan ikhtisas yang baharu mendapat sijil senat dimasukkan dan diluluskan dalam jawatan guru Cos berkenaan.

“Kami berharap agar pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dapat membuka slot guru interim 2022 khas untuk anak Sarawak dengan menarik data-data yang gagal temu duga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 COS 2021 diserap dalam gred jawatan DC41 seperti dalam pengambilan terdahulu,” katanya lagi.

Manakala Mohd Erwanizam, 31, calon guru bagi Bahasa Melayu (Sekolah Jenis Kebangsan Cina) tidak menyangka isu syarat pengambilan oleh SPP telah ditukar kerana pada mulanya syarat khas pengambilan Cos 2021 adalah lepasan ijazah sarjana muda yang bukan dalam bidang perguruan.

“Tetapi selepas kami selidik dan semak, keputusan yang keluar lain, syarat telah berubah, calon DTL yang gagal diambil dan diluluskan berbanding kami yang tiada iktisas perguruan.

Saya kecewa dengan SPP seolah-olah membuat pusingan U setelah kami menunggu lama keputusan sejak 2021.

“Jadi, harapan saya sebagai calon Cos 2021 yang gagal, agar pihak berkuasa dapat membantu kami untuk mengisi kekosongan guru di Sarawak,” katanya.

Goretti Sentu, 35, pula sedih dengan keputusan berkenaan setelah melakukan yang terbaik.

“Tidak perlu dipertikaikan lagi. Lagi pula saya telah melalui pelbagai proses tapisan.

Saya rasa kebanyakan anak Sarawak mempunyai pendidikan yang setaraf dan layak berkhidmat menjadi guru, walaupun kami tiada ikhtisas dalam pendidikan tetapi kami boleh sahaja menyumbung melalui kursus dalam cuti (KDC) untuk memperoleh ikhtisas ini. “Saya harap kami diberi peluang menjadi pendidik… tidak kisahlah kalau kerajaan mahu kami menyertai KDC di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Kami cuma berharap dapat diserap menjadi guru terutamanya di Sarawak,” jelasnya.

Zainah Adam, 36, daripada opsyen pendidikan khas pula amat terkilan.

“Saya telah membuat yang terbaik semasa temu duga dan juga mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru ganti, malah kami dimaklumkan pendidikan khas kekosongannya adalah kritikal, maka saya melihat ada harapan di situ.

“Lebih-lebih lagi isu kekosongan guru di sarawak yang sangat kritikal selepas pertukaran guru secara besar besaran tahun lepas,” katanya.

“Sepatutnya kekosongan ini diisi oleh anak tempatan.

Saya berharap Kerajaan Sarawak, termasuk Menteri Pendidikan Sarawak, wakil rakyat lain dan JPNS memberi sokongan padu agar ada pembelaan dan penyelesaian bagi kami anak Sarawak,” Katanya.

NICHOLAS IMBA

 

MOHD ERWANIZAM

 

GORETTI SENTU

 

ZAINAH ADAM

Suara Sarawak