KUCHING: Kegagalan menyempurnakan peluang terhidang menyaksikan Kuching City FC III (KC FC III) sekadar berkongsi satu mata selepas seri tanpa jaringan menentang PJ City FC di Stadium Sarawak, Petra Jaya petang tadi.

Lima daripada peluang hadir pada babak pertama, berbanding enam lagi gagal disempurna pada babak kedua.

Aksi seimbang diperaga barisan pemain kedua-dua pasukan sepanjang perlawanan.

The City Boys Junior berpeluang memimpin perlawanan pada minit ke-20, namun bola tolakan Andrew Chundi Michael gagal menembusi gawang pelawat dalam keadaan penjaga gol, Azrie Huzainie Anuar sudah pun tertewas.

Situasi sama sekali lagi berulang pada pertengahan babak kedua juga melalui Andrew yang terus dihantui kegagalan menembusi gawang pelawat

“Inilah kesudahannya apabila kita gagal untuk menjaringkan gol.

JANGAN RAPAT….Pemain KC FC III, Mohamad Nasharuddin Japar Sidik (kanan) mengawal bola sambil cuba dirampas pemain PJ City FC. – FOTO KUCHING CITY

“Walaupun mempunyai deretan peluang terhidang, kesudahannya terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata,” jelas ketua jurulatih KC FC III, Firdaus Morshidi ketika mengulas aksi pemainnya.

Menurut Firdaus, pemain berjaya menterjemah strategi yang diguna pakai cuma buntu untuk menjaringkan gol.

Keputusan tersebut menyaksikan KC FC III kekal menghuni tangga kelima, menggumpul lima mata selepas mengharungi enam perlawanan.

Suara Sarawak