SELAMAT TIBA…Daeloniel Mcdelon Bong (tengah) disambut dengan penuh meriah setibanya di LTAK malam tadi. – FOTO GHAZALI BUJANG

KUCHING: Kejayaan Daeloniel Mcdelon Bong, 23 merangkul gelaran juara kategori 57kg pada Kejohanan Tinju Profesional Pakistan 2022 baru-baru ini dianggap sebagai pencapaian yang cukup hebat.

Malah, berupaya menjadi pencetus gelombang baharu terhadap petinju kelahiran Sri Aman untuk meningkatkan prestasi dirinya pada masa akan datang.

“Kejayaan yang diperoleh baru-baru ini sememangnya pencapaian yang mempunyai signifikan tersendiri.

“Ia menghadirkan cetusan semangat yang luar biasa bagi diri saya. Dengan kata lain, kejayaan ini menjadi penanda aras untuk saya terus kekal cemerlang pada kejohanan lain yang akan disertai selepas ini,” ujar McDelon pada sidang media setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) malam tadi.

Menurut McDelon, cabaran cukup hebat dilaluinya sebelum mampu mencipta kejutan dalam kejohanan itu.

Namun, beliau mampu mengatasi tekanan tersebut dengan pengalaman serta berbekal semangat juang yang ada.

“Lawan yang ditentang adalah wakil tuan rumah yang mempunyai rekod yang cukup hebat.

“Saya berjaya mengatasi tekanan yang dilalui malah berupaya fokus sepanjang saingan,” tambah beliau lagi.

Sambil cukup berbangga dengan kejayaan menumbangkan lawan (Sikender Abbassi) menerusi tumbukan ‘Technikal Knock Out’ (TKO).

Turut sama menunggu ketibaan Daeloniel Mcdelon Bong kedua ibu bapanya, Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo, legenda tinju Sarawak, Sapok Biki, jaguh bina badan negara kelahiran Sarawak, Buda Ak Anchah serta sebahagian peminat.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak