
KUCHING: Kejohanan Angkat Berat (Senior & Junior) Kebangsaan 2022, Sarawak yang berlangsung di Dewan Persatuan India Kuching ketika ini dilihat landasan terbaik buat atlet terlibat mempamer kehebatan masing-masing.
Ia lebih-lebih lagi bagi atlet Sarawak yang akan beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2022 untuk memperbaiki prestasi masing-masing.
Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu berkata kejohanan bermula dari 27 Jun hingga 1 Julai nanti akan menghimpunkan seramai 121 orang peserta mewakili 16 buah kontinjen.
“Ini adalah landasan terbaik untuk atlet Sarawak dalam memperlihat kehebatan sebenar mereka selain peluang untuk memperbaiki prestasi masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Angkat Berat (Junior & Senior) Kebangsaan 2022, Sarawak hari ini.
Gerald menambah penganjuran kejohanan itu juga secara tidak langsung dapat mengenal pasti atlet baharu yang berbakat.