KUCHING: Isu kemiskinan bukan lagi alasan untuk rakyat di kawasan luar bandar khususnya kaum Dayak tidak bersekolah.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini kerana kerana Kerajaan Sarawak telah banyak menyediakan bantuan dan Yayasan Kebudayaan Dayak juga membantu masyarakat terutamanya orang Dayak untuk mendapatkan pendidikan.

Justeru, katanya masyarakat Dayak diseru untuk tidak mengabaikan pendidikan anak-anak bagi membantu meningkatkan taraf hidup.

“Ini kerana pendidikan yang membawa ke mana kita hari ini, dan ia juga membantu kita keluar daripada kemiskinan.

“Kita juga akan melakukan apa sahaja yang boleh untuk membantu, supaya anak-anak Dayak dapat menerima pendidikan yang terbaik.

“Pintu kami sentiasa terbuka, pejabat kami juga sentiada terbuka (memberikan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengerami Ngiling Bidai anjuran Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) di Pusat Konvensyen Penview, Demak, malam tadi.

RANYAI: Uggah melakukan upacara Ranyai sebagai simbolik Majlis Pengerami Ngiling Bidai anjuran Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) di Pusat Konvensyen Penview, Demak, malam tadi. F: RAMIDI

Dalam pada itu, beliau juga menyeru agar masyarakat memberikan sokongan kepada program anjuran kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) khususnya dalam isu pendidikan.

Sempena majlis, Uggah turut meluluskan peruntukan sejumlah RM150,000 kepada DTTAS bagi penganjuran Karnival dan Jerayawara Pendidikan 2022.

Hadir sama Pengasas DTTAS Wellie Henry Majang, Naib Presiden II DTTAS Diana David Itang, Pemangku Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Pemangku Pengarah Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Pascal Dagang serta wakil yang lain.

KETIBAAN… Uggah (kiri) diiringi Wellie (kanan) ketika tiba di Majlis Pengerami Ngiling Bidai anjuran Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) di Pusat Konvensyen Penview, Demak, malam tadi. F: RAMIDI

Suara Sarawak