KUCHING: Kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam dan telur, sebaliknya meneruskan pemberian subsidi.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee memberitahu, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia.

“Mesyuarat juga bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar RM0.45 sebiji bagi gred A, gred B (RM0.43 sebiji) dan gred C (RM0.41 sebiji) di Semenanjung Malaysia.

“Penetapan harga siling ini berkuat kuasa bermula 1 Julai 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, dengan pelaksanaan subsidi ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lalu.

“Keputusan ini mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, melalui inisiatif bantuan tunai.

“Ia termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sebahagian daripada golongan berpendapatan sederhana (M40),” ujarnya.

Tambahnya, seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 tahun ini yang merupakan tertinggi pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak