Kes bunuh Eric, sebutan semula 29 Julai depan

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melanjutkan semula sebutan kes bunuh kanak-kanak berusia empat tahun Eric Chang Wei Jie kepada 29 Julai depan.

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan tarikh tersebut untuk kedua-dua tertuduh Wendy Chai Xue Zhen, 37 dan Ling Kok Liang, 51, sementara menunggu laporan forensik serta ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang belum tersedia.

Mahkamah kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dilanjutkan reman sehingga tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu pada 31 Mac, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sengaja membunuh kanak-kanak malang terbabit di Lorong 2, Taman Riverview, Jalan Bintawa, di sini, sekitar jam 5.00 petang, antara 4 hingga 7 Mac lepas.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin yang mewakili Timbalan Pendakwa Raya Tan Chuan Yi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan Eric hilang pada 7 Mac lepas semasa dijaga oleh pengasuhnya di kawasan perumahan tersebut.

Operasi pencarian Eric bermula 13 Mac lalu di sekitar perairan sungai Muara Tebas juga dihentikan 19 mac lepas, pada jam 6.00 petang.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata dalam satu sidang media, ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan empat individu ditahan untuk siasatan.

Keempat-empat individu terbabit mempunyai 17 rekod jenayah lampau iaitu 14 berkaitan dadah, dua jenayah harta benda dan satu jenayah komersial.

Selain itu, sehingga semalam tiada sebarang penemuan mayat kanak-kanak terbabit selepas dilaporkan hilang lebih tiga bulan yang lalu.

Kedua-dua tertuduh (baju putih) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Kuching, harii ini.

Suara Sarawak