Datuk Henry Harry Jinep

BAU: Sebanyak 269 kes denggi dicatatkan di Sarawak untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini, berbanding 210 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Irwilla Ibrahim berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 28 peratus.

“Daripada jumlah tersebut, satu kes melibatkan kematian di bahagian Sibu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Kebangsaan & Sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Sarawak Daerah Bau 2022, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, Kuching merekodkan sejumlah 46 kes denggi iaitu peningkatan dua kali ganda jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun lalu. Namun, tiada kematian dilaporkan.

Manakala, daerah Bau pula mencatatkan sebanyak 16 kes berbanding tiada kes dicatatkan untuk tempoh yang sama pada tahun lepas.

Sementara, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai & Laut) Datuk Henry Harry Jinep menggesa masyarakat untuk sentiasa mempertingkatkan usaha dalam membanteras aedes terutama sekali ketika negeri beralih ke fasa endemik.

“Oleh itu, kawalan kesihatan kendiri terhadap penyakit berjangkit seperti demam denggi perlu terus diperkasakan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Mengulas berkaitan tahap kebersihan di kawasan Bau, beliau memberitahu bahawa tahap kebersihan agak memuaskan dan berharap agar ia dapat dikekalkan untuk kepentingan bersama.

MELAWAT… pemantauan kawasan gotong-royong bersama-sama Datuk Henry Harry Jinep dan lain-lain

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak