DUA kejayaan besar dilakar atlet Bumi Kenyalang sepanjang Jun ini.

Pertama, kejayaan petinju handalan dari Sri Aman, Daelonial McDelon Bong dalam Kejohanan Tinju Pakistan baru-baru ini.

Daelonial yang lebih dikenali sebagai “Kilat Boy” menumbangkan petinju ternama, Sikender Abbasi dengan pukulan ‘TKO’ atau technical knock out pada pusingan ketiga saingan final.

Dengan itu beliau dinobatkan sebagai sang juara, sekali gus mengharumkan nama Sarawak di persada dunia.

Kilat Boy disambut meriah setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baru-baru ini yang turut dihadiri dua atlet terbilang, Sapok Biki (tinju) dan Buda Anchah (bina badan).

Sementara itu, seorang lagi atlet Sarawak, Bonnie Bunyan Gustine.

Jaguh angkat berat sukan para itu sekali lagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila muncul juara Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania 2022 di Pyeongtek, Korea Selatan.

Juara Paralimpik Tokyo 2020 itu berjaya meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan terbaiknya seberat 213kg pada percubaan ketiga.

Bonnie sebelum ini meraih emas Kejohanan Powerlifting Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia, Disember lepas dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tahun lepas.

. ANGKATAN EMAS….Aksi cemerlang Bonnie Bunyau pada kejohanan tersebut.

Yang pasti, kejayaan atlet Sarawak di persada dunia itu adalah seiring dengan misi menjadi negeri maju pada 2030, bukan sahaja pembangunan fizikal, ekonomi, pendidikan dan sosial, tetapi juga bidang sukan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerap kali menjelaskan bahawa, atlet Sarawak bukan sahara jaguh kampung, tetapi juga jaguh dunia.

Malah Sarawak turut membina akademi sukan bertaraf dunia dengan dilengkapi teknologi terkini.

Ia khusus untuk mengasah bakat para belia di negeri ini untuk muncul sebagai atlet berkelas dunia.

Negara kecil, New Zealand misalnya, sebagai negara yang berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia, walaupun populasi penduduknya hanya empat juta.

Kejayaan mereka adalah berkaitan dengan kemudahan sukan dan latihan sistematik yang diberikan sehingga mampu menjadi juara Sukan Olimpik.

Oleh itu, Sarawak sentiasa komited untuk mengembangkan pembangunan belia di negeri, dalam pelbagai bidang, termasuk sukan.

Kerajaan Sarawak, mengambil berat pembangunan sukan di negeri ini, dengan menyediakan pelbagai kemudahan sukan di seluruh negeri, terutama kompleks sukan yang membabitkan stadium mini, gelanggang futsal dan segala kemudahan lain yang berkaitan dengan sukan.

Dari segi pencapaian, Sarawak cukup disegani dalam arena sukan Malaysia.

Banyak pencapaian lalu yang telah kita capai.

Misalnya menjuarai saingan sukan berprestij negara, Sukan Malaysia (Sukma) pada 1990, 1992 dan 1994.

Malah kita juga merupakan ‘kuasa besar’ dalam Sukan Para Sukma, iaitu sukan untuk golongan kurang upaya. Kita bukan hanya juara tujuh kali atau lapan kali… tetapi juara 13 kali berturut-turut, satu pencapaian luar biasa

Malah Sarawak juga pernah berjaya dalam sukan lain, bola sepak misalnya, kita pernah menjuarai Piala FA 1992, Piala Liga Perdana 1997, Piala Sumbangsih 1998, dan Piala Liga Perdana 2013.

Selain itu, kita juga mempunyai atlet bertaraf dunia seperti Watson Nyambek yang pernah menyertai temasya Sukan Olimpik 1998, malah kita juga mempnyai Pandelela Rinong yang juga atlet terjun Olimpik negara.

Yang pasti, kita sebenarnya sudah pun mempunyai beberapa atlet bertaraf dunia, namun usaha berterusan perlu dilakukan untuk melahirkan generasi atlet baharu yang juga bertaraf dunia.

Oleh itu, usaha Kerajaan Sarawak untuk membina akademi sukan amatlah bertepatan.

Di samping itu, persatuan sukan di negeri ini hendaklah konsisten dengan program pembangunan akar umbi bagi memastikan kesinambungan atlet kita dari semasa ke semasa.

Ini bermakna, kita tidak akan mengalami ketandusan atlet pada masa akan datang.

Kerajaan juga mengiktiraf atlet bertaraf dunia, sama ada atlet normal atau OKU.

Misalnya ganjaran dalam bentuk wang ringgit. Ia bukan sahaja sebagai penghargaan atas kejayaan mereka mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia, tetapi juga sebagai motivasi dan rangsangan untuk atlet baharu, untuk bergelar jaguh dunia.

Suara Sarawak