TAHNIAH… Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan Ijazah kepada Nor Ashikin Abdul Rahman sambil disaksikan oleh Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi pada Majlis Konvokesyen Komemoratif UNIMAS 2022.

KOTA SAMARAHAN: Seramai 3,695 orang graduan memperolehi ijazah pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dalam Konvokesyen Komemoratif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berlangsung bermula hari ini sehingga 29 Jun.

Hari pertama sidang menyaksikan seramai 195 orang graduan menerima PhD dan Sarjana masing-masing, yang disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Pro- Canselor UNIMAS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Konvokesyen Komemoratif itu bagi meraikan siswazah yang layak bergraduat pada tahun 2020 susulan istiadat konvokesyen tidak dapat diadakan secara bersemuka akibat pandemik Covid-19.

Secara keseluruhan, jumlah graduan pada Konvokesyen Komemoratif Unimas kali ini melibatkan 195 graduan PhD dan Sarjana.

Manakala 3,500 graduan lagi adalah bagi peringkat Sarjana Muda dari fakulti yang terdapat di Unimas iaitu 64 orang adalah siswazah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan (375), Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (425), Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (318).

Ini termasuk 387 siswazah dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (471), Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (581), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (155) serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (575).

Majlis sidang pertama turut menyaksikan istiadat pemahsyuran Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pro Canselor UNIMAS yang kelima.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat, Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa dan Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak