SIBU: Kementerian Kerja Raya (KKR) menggesa masyarakat untuk membuat aduan berhubung kerosakan jalan bagi memastikan tindakan dapat diambil dalam kadar segera sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata respons dari pengguna jalan raya amat penting dalam menyalurkan maklumat mengenai masalah yang dihadapi agar dapat ditangani dengan berkesan.

“Ini yang kita laksanakan di peringkat kementerian, kita wujudkan ruang aduan jalan raya tanpa mengira isu, apa sahaja yang berkaitan dengan jalan, anda boleh kemukakan aduan kepada kami.

“Oleh itu, kita boleh menyalurkan perincian mengenai aduan kepada agensi yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Program FTRoadpedia KKR 2022 Lebuh Raya Pan Borneo di sebuah hotel terkemuka di Sibu pada Khamis.

Menurutnya terdapat tiga jenis jalan secara umumnya dikenali sebagai jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan majlis.

Kesemua jalan tersebut katanya diuruskan oleh tiga entiti berbeza dengan jalan persekutuan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, manakala jalan negeri dikawal selia oleh kerajaan negeri dan majlis perbandaran atau majlis daerah bertanggungjawab terhadap jalan majlis.

Suara Sarawak