KUCHING: Padah lupa membawa kad pengenalan diri, seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman denda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Arbi, 28, berasal Kampung Semerah Padi mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Zubaidah menetapkan hukuman penjara satu bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 25 (1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, kerana gagal menunjukkan kad pengenalan diri ketika ditanya oleh pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan bangunan kosong di Jalan Tapang, Kota Sentosa, kira-kira jam 3.15 petang, 14 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, pengadu merupakan anggota polis telah membuat rondaan sekitar jam 3.15 petang di Jalan Tapang pada 14 Jun lalu telah menahan seorang lelaki yang berada di kaki lima bangunan kosong.

Semasa pemeriksaan, lelaki berkenaan gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak