Lelaki ditahan disyaki pecahkan skrin ATM
Skrin mesin ATM sebuah bank di Siburan retak disyaki dipecahkan dalam satu kejadian tengah malam tadi.

PADAWAN: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Siburan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek, 37, ditahan di perkarangan Balai Polis Kota Sentosa kira-kira 9 pagi oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan.

“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan tiada rampasan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abang Zainal berkata, kejadian berlaku apabila pengadu iaitu seorang polis bantuan bank terbabit menerima satu panggilan telefon kira-kira jam 12.12 tengah malam dari pegawai keselamatan bank memaklumkan pintu bank berkenaan terbuka.

“Pengadu dimaklumkan pintu ABL (pintu masuk) belum tertutup sepenuhnya dan menyebabkan penggera berbunyi.

“Dalam masa yang sama, dia menerima panggilan telefon dari orang awam memberitahu penggera bank berbunyi dan mendapati pintu tarik bank telah tertutup tetapi pintu ABL masih terbuka,” jelasnya.

Seorang lelaki ditahan disyaki memecahkan skrin mesin ATM dalm satu kejadian tengah malam tadi.

Tambahnya, orang awam yang menutup pintu bank tersebut telah ternampak salah satu skrin ATM dalam bank berkenaan telah retak.

Beliau berkata, tiada kehilangan barang dalam premis dan laporan dibuat untuk makluman pihak bank dan tuntutan insurans.

Dalam pada itu katanya, pegawai penyiasat tidak menjumpai sebarang objek yang digunakan suspek untuk memecah skrin tersebut di lokasi kejadian.

Beliau berkata, lokasi kejadian mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tetapi tiada saksi mata melihat kejadian yang berlaku.

Katanya, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak