NIAH: Lelaki yang dilaporkan hilang di sungai dekat Ladang Kuala Suai, Sungai Telung Batu Niah tengah hari ini masih belum dijumpai setakat ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada orang awam oleh kira-kira jam 12.55 tengah hari.

“Maklumat awal yang diperoleh oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah menyatakan mangsa berkemungkinan hilang di sungai.

“Namun belum dapat dipastikan sama ada mangsa diserang buaya atau lemas kerana kerana tiada saksi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya pasukan SAR turut menjumpai motosikal, topi, kasut dan beg sandang dipercayai milik mangsa berhampiran tepi sungai tersebut.

Bagaimanapun, tambahnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian ditangguhkan pada jam 6.30 petang setelah usaha mencari ke kawasan hulu dan hilir sungai dalam radius dua kilometer gagal.

Operasi akan disambung esok.

Operasi SAR mencari seorang lelaki yang hilang di sungai dekat Ladang Kuala Suai, Sungai Telung, hari ini.

 

Suara Sarawak