KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Seksyen di sini, hari ini, kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan sah.

Tertuduh Mohammad Yusuf, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad yang turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 30 Mei lalu.

Tertuduh juga akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, sekitar jam 3.40 petang di sebuah rumah pangsapuri di Batu Kawa, pihak berkuasa berjaya menangkap tertuduh yang dipercayai warga asing memasuki negara tanpa permit yang sah.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda Maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan tidak melebihi enam sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohammad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana terlibat dalam aktiviti mengendalikan mesin judi dalam talian.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman penjara.

Bagi kes tersebut, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.

Tertuduh dibawa keluar oleh anggota polis di Mahkamah Sesyen, di Kuching, hari ini.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak