KUCHING: Seorang lelaki berusia 25 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 0.04 gram, 7 Mac lalu.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Evans selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Zaiton memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh reman iaitu 11 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan terlarang itu dalam sebuah rumah flat di Semenggok, kira-kira jam 11.40 pagi, 7 Mac lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, satu serbuan telah dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan di sebuah rumah flat  dan berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui sebuah beg berzip warna biru yang dalamnya terdapat satu paket lutsinar yang mengandungi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis syabu.

Barang kes telah dibawah ke Jabatan Kimia Malaysia dan laporan mengesahkan barang tersebut adalah dadah jenis Methamphetamine seberat 0.04 gram.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak