SELESAI TAKLIMAT…Presiden SD FC, Halel Mohd. Ibrahim (duduk tiga dari kiri) bersama pengurus pasukan diakhir taklimat.

KUCHING: Saingan Liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak 2022 akan bermula 12 Jun ini.

Justeru, sebanyak 14 pasukan handalan dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Zon Tengah akan bertanding merebut hadiah wang tunai RM30,000 bersama piala dan pingat untuk pasukan bergelar juara.

Presiden Kelab Bola Sepak Daerah Sibu (SD FC), Halel Mohd. Ibrahim berkata, format kejohanan adalah liga kumpulan untuk peringkat awal.

“Himpunan pasukan bertanding dibahagi kepada empat kumpulan iaitu umpulan A terdiri daripada STR N46, Forty Three Daro FC, SD FC dan Igan FC.

“Manakala, tiga pasukan diundi berada dalam Kumpulan B iaitu 7DSC (Baleh), Repok STR dan Dudong FC,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Halel, Kumpulan C turut menyaksikan empat pasukan iaitu Machan FC, Pelawan FC, Bukit Goram dan Selangau District FC (Tamin).

Di samping, tiga lagi pasukan yang diundi berada dalam Kumpulan D ialah Fourtynine Ngemah, Landas dan Nangka United.

Menjelas lanjut, Halel berkata kejohanan saingan peringkat kumpulan diadakan secara timbal balik (home/away).

“Seperti biasa, hanya dua pasukan terbaik layak secara automatik ke pentas kalah mati, dan format perlawanan secara timbal balik turut dilaksanakan,” katanya.

Sementara, pasukan yang muncul naib juara akan menerima wang tunai RM15,000 termasuk piala dan pingat.

Manakala, dua pasukan yang tewas diperingkat separuh akhir masing-masing akan menerima wang tunai RM5,000 beserta piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.

Halel memberitahu, kejohanan terbabit yang dianjur oleh Seketariat Sukan, Budaya dan Perpaduan Nangka & Pusat Khidmat N55 Nangka serta Komuniti Nangka Challenge.

“Perlawanan peringkat kumpulan mengikut ketetapan setiap ADUN dan hanya perlawanan akhir akan berlangsung di Sibu,” katanya yang turut mengakui saingan liga terbabit dijangka meriah kerana pasukan terlibat turut menguna pakai khidmat pemain yang pernah mewakili skuad Sarawak serta Kuching City FC (KC FC).

Suara Sarawak