KUCHING: Kuching City FC (KC FC), komited untuk tidak terlepas sebarang mata menjelang pertemuan dengan PDRM FC di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam esok.

Memanfaat kelebihan beraksi di laman sendiri, Ketua Jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim berharap jelmaan tiga mata mutlak itu diperoleh dalam meletakkan kedudukan The City Boys dalam kelompok tiga terbaik.

SEDIA GEMPUR…Import baharu KC FC, Gabryel Monteiro De Andrade (kanan) bakal turun dalam perlawanan malam esok.

“Kemenangan menjadi fokus utama untuk perlawanan malam esok.

“Kesempatan beraksi dilaman sendiri akan dimanfaat sepenuhnya,” ujar Irfan kepada Arena Suara Sarawak.

Irfan untuk aksi buka tirai pusingan kedua malam esok bakal melakukan  sedikit perubahan terhadap barisan kesebelasan utama.

Bekas pengemudi skuad kebangsaan itu akan menurunkan import baharu, Gabryel Monteiro De Andrade  bagi menguatkan jentera serangan.

“Beliau (Gabryel Monteiro De Andrade) akan bermain malam esok. Diharap kehadirannya akan dapat memberi impak yang diharapkan,” tambah Irfan lagi.

Menurut Irfan, semua pemainnya bebas dari kecederaan mahupun penggantungan.

Justeru, kelebihan tersebut dijangka memudahkan perancangannya untuk menurunkan barisan kesebelasan terbaik.

Suara Sarawak