Lima bahagian di Sarawak berisiko menjelang musim kemarau

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak lima bahagian lokasi titik panas di Sarawak diberikan tumpuan dalam menghadapi peralihan Monsun Barat Daya bermula Mei hingga Oktober, tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia merangkumi Bahagian Miri, Sibu, Mukah, Sri Aman dan Kuching.

“Kesemua bahagian terbabit akan diberi tumpuan dalam operasi pemantauan bergantung kepada maklumat Jabatan Metrologi Malaysia dan agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Persediaan Menghadapi Monsun Barat Daya di Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, di sini, hari ini.

“Miri ada beberapa tempat termasuk Baram, Tudan, selain di Sibu, Mukah, dan tahun lepas di Kuching pun ada cuma majoriti puncanya kerana aktiviti manusia.

“Sri Aman juga termasuk dengan mengambil kira tragedi dahulu, supaya aktiviti penguatkuasaan dapat lakukan dengan lebih banyak,” ujarnya.

Dedahnya, perubahan daripada Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya akan mengakibatkan berlakunya kekeringan dan musim kemarau serta krisis air sehingga menyebabkan kebakaran hutan, belukar, tempat pelupusan sampah, tanah gambut.

Setakat ini katanya, seramai lebih 1,200 kakitangan bomba seluruh Sarawak telah bersedia.

Bagi segi persediaan aset pula, beliau mendedahkan persiapan telah menjangkau 90 peratus terutama alat pemadaman kebakaran hutan dan kebakaran tanah gambut.

Majlis turut disertai Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak (JBPMS), Datuk Khirudin Drahman @ Hussaini.

BERCAKAP…Hamdan (tengah) pada sidang media pelancaran Persediaan Menghadapi Monsun Barat Daya di Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan

 

Suara Sarawak