Pasukan bomba ketika operasi memadam kebakaran lori terbabit.

ENGKILILI: Sebuah lori yang membawa muatan tilam dan almari musnah terbakar di Kilometer 19 Jalan Sri Aman-Sarikei berhampiran Kampung Entawa di sini, hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga Sri Aman Ramlan Marajan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 3.05 petang.

“Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman digerakkan ke lokasi dan apabila sampai, kebakaran telah memusnahkan lebih kurang 80 peratus lori,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, kebakaran difahamkan bemula dari bahagian enjin.

“Berdasarkan maklumat pemandu, api bermula dari bahagian enjin sebelum merebak sehingga membakar muatan tilam dan almari di bahagian belakang.

“Insiden turut menyebabkan seorang kelindan cedera melecur di tangan sebelah kiri,” ujarnya.

Katanya kebakaran berjaya dipadamkan menggunakan sumber air dari tangki jentera kira-kira setengah jam kemudian.

Sebuah lori yang membawa muatan tilam dan almari sedang terbakar di KM-19 Jalan Sri Aman-Sarikei berhampiran Kampung Entawa di sini, hari ini.

Suara Sarawak