SEMATAN: Kawasan Lundu dan Sematan bakal menjadi seperti Dubai, Emiriah Arab Bersatu dengan pembangunan pelbagai produk pelancongan termasuk dua buah hotel baharu bertaraf antarabangsa.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan keindahan taman negara, pantai serta pelbagai tarikan lain, Kerajaan Sarawak bersedia membangunkan infrastruktur lain bagi meningkatkan potensi pelancongan kawasan terbabit.

“Pihak swasta akan membangunkan dua buah hotel baharu bertaraf antarabangsa di kawasan ini dengan nilai pelaburan RM120 juta dan ia diluluskan. Sebuah lagi permohonan pembinaan hotel masih dalam penilaian.

“Saya difahamkan salah sebuah hotel ini bakal dibina seperti ‘The Palm Dubai’, maka kita akan mempunyai penginapan yang sesuai untuk membawa pelancong antarabangsa.

“Jadi kita akan seperti Dubai kelak. Semua ini sudah pasti mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu sekali gus meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Perasmian Pontoon dan Landskap Tebingan Sungai Sematan serta Penyampaian Hadiah Pertandingan Joran Tanjong Datu di Sematan, hari ini.

Tambahnya, kawasan berkenaan mempunyai potensi pelancongan yang besar kerana mempunyai dua laluan untuk sampai iaitu menerusi Petra Jaya dan Bau di Kuching.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak