KUCHING: Seorang penjawat awam dihadap ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan melupuskan harta curi iaitu sembilan unit tablet milik Kerajaan Negeri dengan menjual kepada empat orang berlainan.

Tertuduh Izzad , 31, bertugas sebagai penolong jurutera mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan dihadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, dia didakwa dibawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi iaitu enam unit tablet dengan menjual kepada seorang lelaki berusia 51 tahun.

Kesemua kesalahan itu dilakukannya pada 29 Mac, 31 Mac, 28 April dan 31 Mei lepas di sebuah rumah di Kampung Tanjung Bundong, Kota Samarahan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 beserta seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 14 Julai depan.

Sementara itu, di dua Mahkamah Majistret berasingan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh atas tiga pertuduhan melupuskan harta curi iaitu tiga unit tablet milik Kerajaan Negeri.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 414 kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi iaitu tiga unit tablet dengan menjual kepada tiga orang berbeza.

Dia melakukan perbuatan itu di rumah yang sama pada 31 Disember 2021, 4 April dan 19 Mei lalu.

Tertuduh kemudian dibebaskan dengan jaminan RM5,000 beserta seorang penjamin tempatan masing-masing di dua Mahkamah Majistret berasingan.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching Sataia Kombi menetapkan tarikh 30 Jun depan sebagai sebutan semula bagi pengurusan kes.

Suara Sarawak