TURUT TERUJA… Dua cucu John, Eallison Ethan (kiri) dan Elleanora Corey Nandu teruja apabila mengetahui mereka akan menjamu selera di The Chew Big Bowl Noodles

JOHN ADAM Gilbert menyifatkan kunjungan kedua ke Restoran The Chew Jetty Big Bowl Noodles sebagai saat paling manis dan sukar dilupakan.

“Baru-baru ini, kami sekeluarga berpeluang dan berkesempatan untuk pergi bercuti ke Pulau Pinang. “Ketika di sana (Pulau Pinang) kami sempat membeli-belah di Penang Street.

Namun sebelum ke Penang Street, kami terlebih dahulu berkunjung ke Komtar dan Peranggin Mall.

“Ketika sibuk membeli-belah, saya teringatkan sebuah restoran yang terletak berhampiran sini.

“Restoran ini menyediakan mi sup yang sangat sedap,” katanya menceritakan kunjungannya ke Restoran The Chew Jetty Big Bowl Noodles oleh Suara Sarawak.

JOHN dan isterinya menjamu selera di The Chew Jetty Big Bowl

Ditanya pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika berada di restoran berkenaan, katanya, dia sangat teruja kerana pertama kali dihidangkan makanan menggunakan mangkuk bersaiz besar — sebesar pemeluk orang dewasa.

“Teruja dan terkejut kerana ini pertama kali seumur hidup saya dihidangkan makanan menggunakan mangkuk bersaiz besar.

“Pengalaman ini tidak pernah saya alami sebelum ini, dimana-mana restoran yang pernah saya kunjungi sebelum ini, “ katanya.

Awal Jun lepas, John bercuti bersama-sama keluarganya ke Pulau Mutiara untuk berjumpa dengan anak perempuannya Elizabeth Rosalililaw yang bekerja di Penang Adventist Hospital juga menantu yang bertugas di Balai Polis Tikus sejak 2018.

“Dulu, kebanyakan rumah di sekitar sini dibina di atas air dan diperbuat daripada kayu.

“Namun kini sesuai dengan peredaran zaman, semuanya telah berubah dengan banyak premis menjual aneka barangan dan restoran,” katanya mengimbas kembali perbualannya berkaitan sejarah awal The Chew Jetty dengan pemilik restoran.

Bercerita lanjut, John memaklumkan, isterinya, Minggat Bundak pernah terbaca hantaran di Facebook mengenai The Chew Jetty Big Bowl Noodles sebelum ini.

“Setelah kerap terbaca hantaran dan komen pengguna Facebook di negeri ini mengenai pengalaman menjamu selera di The Chew Jetty Big Bowl Noodles, membuatkan kami ingin untuk pergi dan mencuba menu di restoran,” kata John yang pernah gagal pada kunjungan pertamanya pada Februari lepas apabila restoran yang terletak di Jalan Pangkalan Weld, George Town tidak beroperasi.

“Ketika sampai di pintu masuk restoran, saya dapati ramai pelanggan yang datang malah ada juga sibuk menjamu selera bersama-sama keluarga masing masing.

“Dan kebanyakan pelanggan di dalam restoran pada masa itu adalah pelanggan daripada kaum Cina.

“Jumlah kehadiran mereka yang agak ramai mungkin disebabkan tempat atau restoran yang menyajikan makanan yang tidak halal di tempat ini agak terhad,” katanya sambil menambah, hanya mereka sekeluarga pelanggan berlainan bangsa yang berada di dalam restoran berkenaan ketika itu.

Ditanya tentang layanan pelayan sepanjang menjamu selera, beliau menyatakan, layanan daripada pelayan restoran adalah amat memuaskan.

“Puas hati…. layanan di restoran ini cukup bagus. “Tidak payah menunggu lama untuk mendapat minuman ataupun makanan selain pekerjanya (pelayan) cukup peramah,” katanya.

The Chew Jetty yang terletak berhampiran Pengkalan Feri Pulau Pinang ke Butterworth dahulunya hanyalah sebuah penempatan kecil bagi kaum cina yang bekerja sebagai nelayan di Pulau Pinang.

John sebelum ini turut berkongsi mengenai pengalamannya ketika menjamu selera di The Chew Jetty Big Bowl Noodles bersama-sama rakan-rakan di laman Facebook John Adam Gilbert.

Suara Sarawak