Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Sebanyak 49 rumah panjang, enam sekolah, dua institusi pengajian tinggi dan tiga pejabat kerajaan di Daerah Sebauh kini sudah mempunyai rangkaian internet berkelajuan tinggi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dengan siapnya projek rangkaian jalur lebar terbuka kelajuan tinggi luar bandar Sebauh dengan melibatkan pembesaran kabel gentian optik.

“Usaha ini selaras dengan strategi Kerajaan Sarawak adalah untuk membina infrastruktur digital untuk meluaskan liputan dan menyediakan kesalinghubungan, terutamanya kepada masyarakat luar bandar.

“Dengan landskap Sarawak yang luas, dianggarkan kita memerlukan 7,000 struktur telekomunikasi untuk mencapai 99.9 peratus penembusan internet di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) Ke-5, 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Menurutnya, di bawah inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) sebanyak 600 menara di bawah projek Telekomunikasi Luar Bandar (SMART) Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) sedang dibina.

“Sementara Kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperuntukkan tambahan pembinaan 742 menara baharu untuk dibina di Sarawak melalui Pelan Gentian dan Ketersambungan Negara (JENDELA),” ujarnya.

Bagi kawasan yang jauh di pedalaman, beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak telah melengkapkan 250 tapak dengan Terminal Apertur Sangat Kecil (VSAT) di bawah projek Wi-Fi SALURAN.

“Ini adalah penyelesaian sementara untuk memberi akses internet kepada komuniti yang kurang mendapat manfaat yang 86,562 pengguna telah mendapat manfaat setakat ini,” katanya lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak