JUMPA…Pasukan Bomba dan Penyelamat Belaga membawa naik mayat bagi operasi mengenal pasti identiti mangsa

KAPIT: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh di Sungai Ulu Naha Nyabong Bakun pada Selasa, ditemui kira-kira jam 9.40 malam, semalam.

Mayat mendiang, Heli Nyalong, 36, dijumpai terapung oleh penduduk kampung pada jarak kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat telah dibawa ke rumah panjang sementara menunggu hari siang untuk dibawa ke Hospital Nyabau bagi tindakan lanjut.

“Identiti mayat telah disahkan oleh penduduk kampung sebelum dibawa ke rumah panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai akibat terlanggar batang pokok.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 3.15 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan oleh Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Belaga.

Operasi pencarian mangsa yang turut melibatkan agensi bomba dan penduduk kampung tamat sepenuhnya pada jam 11.35 malam hari kedua operasi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak