SARIKEI: Satu mayat tanpa identiti ditemukan terapung dalam keadaan tidak berpakaian di perairan Batang Sungai Rajang, Terminal 2 di sini, petang semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin, mayat berkenaan ditemui terapung oleh orang awam kira-kira empat kilometer dari Terminal Dua Sarikei.
Sejurus itu, pihaknya terus ke lokasi penemuan mayat tersebut menggunakan bot orang awam yang menjumpai mayat tersebut.
“Setibanya di lokasi yang dilaporkan, didapati memang terdapat mayat seorang lelaki terapung.
“Pihak bomba terus menghubungi bilik kawalan untuk memaklumkan kepada pihak polis tentang penemuan mayat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, lelaki berkenaan tidak mempunyai kad pengenalan diri sewaktu ditemui.
Mayat tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.