Gambar hiasan

KUCHING: Seorang lelaki berusia 40 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, tiga tahun lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Rudi Haspa yang berasal Kampung Tabuan Hulu selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapannya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badannya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, kira-kira jam 12 tengah hari, 26 Jun 2019.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada 26 Jun 2019, sekitar jam 12 tengah hari , di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching  telah menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Hasil awal saringan air kencing tertuduh didapati positif dadah. Kemudian, laporan dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak