DITUBUHKAN 11 tahun lalu, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah sehingga kini terus komited membantu dan memberi peluang kepada pelajar luar bandar dan pedalaman mendapatkan pendidikan yang berkualiti.

Sasaran itu terbukti dicapai apabila buat julung kalinya salah seorang pelajarnya, Nur Adila Hanis Wahab, 17, berjaya mendapat keputusan cemerlang iaitu 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan minggu lepas.

Enam lagi pelajar MRSM Mukah turut berjaya mendapat gred A dalam semua mata pelajaran dengan gred purata maktab meningkat kepada 3.14 daripada 3.49 pada 2020.

Pengetua MRSM Mukah Zuraidah Zaidi ketika ditemui Suara Sarawak memaklumkan, pihaknya bersyukur atas keputusan memberangsangkan dicapai oleh pelajarnya yang menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Semua kejayaan ini adalah hasil kerjasama ibu pejabat Mara Bahagian Pendidikan Menengah, sekolah dan ibu bapa dalam membantu pelajar mengatur strategi untuk meningkatkan keputusan SPM kali ini,” katanya.

Jelasnya lagi, seperti semua pelajar sekolah lain di Malaysia, calon SPM 2021 MRSM Mukah juga tidak terkecuali menghadapi cabaran sepanjang pandemik Covid-19 yang memaksa PDPR dilaksanakan.

“Saya percaya, dengan kehadiran ramai guru muda di MRSM Mukah yang begitu mahir dan tangkas dengan Internet serta teknologi telah membolehkan sesi PDPR berjalan lancar dan berkesan, meskipun tiada sesi pembelajaran bersemuka secara fizikal dilaksanakan sepanjang tempoh itu.

“Mereka (guru MRSM Mukah) sangat mahir dengan Internet dan teknologi maklumat.

“Saya fikir inilah faktor kejayaan pelajar kami, malah pihak pengurusan di MRSM Mukah juga berjaya mencari jalan yang luar biasa untuk pelajar,” katanya.

Jelasnya, bagi membantu pelajar di luar bandar terutamanya golongan B40, pihak pengurusan mengeluarkan dana untuk membeli data Internet untuk pelajar.

“Jadi kami berbelanja sekitar RM5,000 membeli data Internet untuk pelajar yang kurang berkemampuan.

“Bagi pelajar yang berkongsi gajet dengan ibu bapa atau adik-beradik, Unit Bimbingan Kaunseling mengumpul dana untuk memberi komputer riba kepada pelajar,” katanya.

Malah ujarnya, guru-guru di MRSM Mukah turut pergi ke pedalaman untuk menghantar sendiri komputer riba berkenaan kepada pelajar.

“Walaupun sedikit iaitu lebih 30 lebih komputer riba sahaja tetapi ia sedikit banyak membantu pelajar mengikuti pelajaran.

Lawatan yang diadakan memberi peluang untuk berjumpa dengan pelajar di kawasan pedalaman di Bakun, Sungai Asap.

Ini peluang untuk kami bertanya bagaimana mereka menghadapi cabaran PDPR ini.

“Lawatan itu sedikit banyak memberi semangat kepada pelajar terutama yang menduduki peperiksaan SPM,” tambahnya lagi.

Bagi pelajar tingkatan lima katanya, program Home Room yang dilaksanakan setiap tahun adalah satu alternatif untuk MRSM Mukah memberi dorongan kepada pelajar.

“Dalam program Home Room ini, kumpulan 15 pelajar akan dibimbing oleh seorang guru.

Setiap hari mereka akan diberikan kata-kata dorongan terutama pelajar tingkatan lima.

Ini ibarat sentuhan peribadi daripada guru kepada pelajar dalam bentuk motivasi.

“Kami lakukan usaha ini setiap tahun.

Namun sepanjang pandemik, kami lakukan lebih giat lagi memandangkan situasi sangat luar biasa disebabkan Covid-19.

Saya percaya ini juga penyumbang kejayaan pelajar kami,” ujarnya.

Zuraidah berharap semua pelajar yang menerima keputusan SPM masing-masing minggu lepas agar merebut segala biasiswa yang ditawarkan oleh pelbagai agensi, untuk melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi lagi dalam bidang yang mereka minati.

“Semoga mereka (calon SPM) diberi rezeki untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan atau luar negara.

“Saya harap semua pelajar MRSM Mukah dapat melebarkan sayap ke tempat lain kerana ramai yang berasa selesa untuk kekal di Mukah.

Bukan tidak bagus tetapi kami mahu mereka mendapat pengalaman yang lebih lagi di Kuching, Miri dan belajar di Unimas, Universiti Curtin, UTS dan banyak lagi.

“Mara akan tetap membantu mereka sehingga tamat pelajaran… itu janji Mara, kalau kita tidak bantu anak tempatan, siapa lagi?” soalnya.

Sebagai pengetua, beliau akan terus berusaha membantu pelajarnya kerana itu adalah peluang untuknya membantu anak Sarawak.

Dengan kejayaan MRSM Mukah dalam SPM, beliau berterima kasih kepada guru guru kerana berjaya mengikuti tunjuk ajar dan bantuan Bahagian Pendidikan Menengah dalam menyusun semula strategi.

“Terima kasih juga kepada staf MRSM Mukah, pihak kontraktor, semua wakil rakyat yang menyokong sepenuhnya program di MRSM Mukah, termasuk Badan Muafakat MRSM Mukah yang menyokong secara kewangan dan sokongan moral serta kerohanian.

“Saya percaya kolaborasi baik antara guru, pelajar, masyarakat, pengurusan dan pemegang taruh semuanya memberi kami semangat di MRSM Mukah ini,” jelasnya lagi.

ZURAIDAH ZAIDI


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak