KUCHING: Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman memberi jaminan untuk membantu mengembangkan sukan Muaythai di Sarawak sehingga mampu melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

Mengakui melahirkan atlet bertaraf dunia bukan tugas mudah, beliau berkata impian tersebut akan dapat dicapai dalam masa lima tahun akan datang sekiranya pengurusan ekosistem dapat diatur dengan baik.

“Bagaimanapun, usaha ini perlu mendapat kerjasama padu daripada segenap lapisan masyarakat terutama kelab dan persatuan Muaythai serta penyokong-penyokong sukan itu sendiri.

“Ia adalah bagi menyemarakkan lagi semangat para atlet untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian kejohanan Cabaran Muaythai NSIX Tupong piala Datuk Seri Fadillah Yusof dan Piala Pusingan Fazzrudin Abdul Rahman di Dewan Serbaguna Akademi Kastam Sarawak, semalam.

Fazzrudin dalam masa yang sama turut memberi cabaran kepada anak Sarawak untuk menang kejuaraan dunia Persatuan Muaythai Antarabangsa (IFMA) dalam masa lima tahun memandangkan sukan Muaythai telah berkembang secara meluas di negeri ini.

“Kita akan membantu ke arah usaha ini. Saya mengharapkan agar kita sama-sama mengambil cabaran ini demi mewujudkan atlet (fighter) bertaraf kejohanan IFMA,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan bahawa kejohanan Muaythai akan dianjurkan setiap tahun di Tupong sebagai usaha mengetengahkan anak-anak muda lebih mudah berkecimpung ke arah sukan tersebut.

Katanya, ia antara strategi usaha untuk memastikan objektif tercapai di samping mewujudkan ekosistem lengkap dari semasa ke semasa.

JUARA…Fazzrudin (tengah) bersama pemenang kategori pilihan dalam kejohanan Cabaran NSIX Tupong piala Datuk Seri Fadillah Yusof dan Piala Pusingan Fazzrudin Abdul Rahman di Dewan Serbaguna Akademi Kastam Sarawak,

Suara Sarawak