KUCHING: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sarawak mengeluarkan sejumlah 151 kompaun daripada 687 pemeriksaan yang dilakukan ke atas majikan menerusi Ops Kesan pada 7 dan 8 Jun lalu.

Pengarah Perkeso Sarawak Phillip Sangkan berkata, notis kompaun dengan nilai RM110,998 telah dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja, dengan 49 kes didakwa atas pelbagai kesalahan sehingga Jun 2022.

“Ops ini telah dilaksanakan buat kali ke-13 bagi menjejaki majikan yang masih ingkar mendaftarkan perusahaan dan mencarumkan pekerja seperti ditentukan dalam Akta 4 dan Akta Skim Insurans Pekerjaan (Akta 800) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2018,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau juga menyeru sektor pengangkutan seperti pemandu Grab dan Foodpanda membuat caruman Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Pengarah Perkeso Sarawak Phillip Sangkan ketika menunjukkan risalah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri kepada para wartawan.

Selain itu katanya, pekerja domestik seperti pekebun, pemandu peribadi dan lain-lain juga wajib dicarum.

Jelasnya, bukan hanya pekerja tempatan, tetapi pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini juga wajib untuk didaftarkan dengan Perkeso sejak 1 Januari 2019 di bawah Akta 4.

“Justeru, semua majikan dan Orang Bekerja Sendiri (OBS) di bawah sektor Pengangkutan Penumpang dan sektor Pengangkutan Barangan dan Makanan digesa untuk mendaftar secepat mungkin.

“Kegagalan berbuat demikian akan dikenakan tindakan kompaun yang boleh mencecah RM5,000 mengikut kesalahan dilakukan. Sekiranya didakwa dan sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000.00 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Phillip Sangkan (tengah) bersama-sama Timbalan Pengarah Perkeso Sarawak Dundang Undong (Kiri) dan Ketua Cawangan Penguatkuasaan Perkeso Sarawak Asmawati Ahmad Moghni (kanan) ketika sidang media Ops Kesan.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak