Mohd Azman menunjukkan rampasan dan tangkapan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak dalam Op Khas di Betong.

KUCHING: Polis merampas dadah bernilai RM13,230 dan menahan 21 individu menerusi serbuan berasingan di Daerah Betong pada 18 Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, Operasi Khas tersebut dijalankan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak (JSJN) bermula jam 12 tengah hari sehingga 6.30 petang di Jalan Tisak dan Beladin.

Katanya, individu yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki dan tiga wanita berumur dalam lingkungan 18 hingga 54 tahun.

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis merampas dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM13,230.

“Kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 661 orang penagih dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Sarawak, di sini hari ini.

Tambahnya, wang tunai berjumlah RM7,488 dan barang kemas dianggarkan bernilai RM27,988 turut disita di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Mohd Azman berkata, modus operadi suspek menjadikan kawasan hutan di Jalan Tisak sebagai pot dadah dan aktif bermula waktu pagi hingga lewat petang.

Manakala di Beladin, katanya aktiviti penjualan dadah dijalankan di rumah suspek.

“Bekalan dadah diperoleh dari seorang lelaki yang telah dikenal pasti di kawasan Beladin.

“Suspek akan membungkus semula dadah dan menjualnya kepada penagih tempatan,” jelasnya.

Beliau berkata, seorang suspek wanita disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala seorang lagi suspek wanita disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952.

Sementara, katanya 18 orang lelaki disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan seorang wanita di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya, seramai 18 orang lelaki didapati positif dadah methamphetamine manakala dua orang perempuan didapati negatif.

Beliau berkata, empat orang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah manakala dua orang lagi mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah.

Dalam pada itu katanya, pemohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Betong terhadap seorang suspek wanita yang direman sehingga 24 Jun ini.

Manakala katanya, 20 suspek yang lain telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patalogi, laporan kimia dan kertas siasatan dilengkapkan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak