MIRI: Padah menceroboh dan berjalan ‘makan angin’ di kawasan parkir pesawat Lapangan Terbang Miri, seorang lelaki ditangkap anggota keselamatan.

Perbuatan lelaki berusia 30 tahun itu disedari pasukan keselamatan selepas imejnya terakam di kamera litar tertutup (CCTV) kawasan tersebut.

Suspek disyaki memasuki kawasan larangan itu tanpa disedari anggota keselamatan Lapangan Terbang Miri. Siasatan awal melalui rakaman CCTV mendapati suspek merayaurayau dalam keadaan mencurigakan dengan menghampiri salah sebuah pesawat yang sedang parkir.

Bagaimanapun perbuatannya seolah-olah ‘makan angin’ di kawasan larangan orang awam itu mengundang padah apabila suspek ditangkap anggota keselamatan Lapangan Terbang Miri jam 3.30 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan suspek lelaki berkenaan telah ditahan dan dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Suspek ditahan mengikut Seksyen 4 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Dalam satu lagi kejadian jenayah, Alexson berkata polis telah menangkap seorang lelaki selepas didakwa mencederakan isterinya dalam satu kejadian di rumah panjang Jalan Lama Miri-Bintulu.

Dalam kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan lebam di mata, mulut dan kepala dipercayai telah ditumbuk suspek yang di bawah pengaruh alkohol pada malam Khamis. Bertindak atas aduan, sepasukan anggota Balai Polis Batu Niah telah menahan suspek berusia 40 tahun sekitar jam 11 malam Khamis.

Suara Sarawak