KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana menyimpan gambar seorang wanita yang sedang kencing di dalam tandas awam, tiga tahun lalu.

Tertuduh Ling, 31, merupakan pekerja di bahagian akaun di sebuah syarikat mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah iaitu gambar seorang wanita berusia 44 tahun.

Dia didakwa memilik bahan tersebut di kediamannya di Taman Satria Jaya, BDC, di sini sekitar jam 11 malam, 6 September 2019.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Zubaidah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda.

Menurut fakta kes, pada 6 September 2019, pengadu yang merupakan pengurus syarikat telah membuat laporan polis kerana pekerjanya (mangsa) mengesan satu kamera kecil telah dipasang di dalam tandas wanita tingkat 7, dalam sebuah bangunan pejabat di Pending.

Setelah diperiksa, kamera tersebut telah dipasang oleh salah seorang pekerja lelaki untuk merakam wanita yang menggunakan tandas terbabit.

Pada hari yang sama, pihak polis dari Cawangan D9, IPD Kuching berjaya menangkap tertuduh di kediamannya di Taman Satria Jaya.

Barang kes seperti komputer riba, tablet, cakera keras mudah alih dan pemacu pena milik tertuduh turut dirampas.

Siasatan di dalam tandas wanita tersebut berjaya menemui dua unit kamera tersembunyi berbentuk wayar, seunit cakera keras mudah alih dan kad memori terpasang di atas syiling tandas.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh menyimpan gambar mangsa yang sedang kencing di dalam tandas dan disimpan dalam cakera keras mudah alih miliknya.

Difahamkan, tertuduh mengaku menyimpan bahan tersebut untuk simpanan sendiri dan tidak pernah menyebarkannya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh diwakili peguam Christopher Bada.

Suara Sarawak